Saturday, August 22, 2009

Wajah-wajah sepanjang majlis penyerahan bangunan baru-karnival kokurikulum-sambutan bulan kemerdekaan peringkat sekolah 2009

*KLIK PADA GAMBAR UNTUK LEBIH JELAS*





















































































SELAMAT BERCUTI (22 - 31 OGOS 2009).

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK.

SELAMAT ULANGTAHUN MALAYSIA YANG KE-52.

SELAMAT MENDUDUKI PENILAIAN AKADEMIK 2 DAN EXCEL 2.





Thursday, August 20, 2009

Hari yang dinanti.

Satu majlis penyerahan bangunan baru Sekolah Menengah Kebangsaan Apin-Apin telah diadakan secara besar-besaran dengan menjemput wakil rakyat dan pemimpin serta barisan pengetua dan guru besar sekitar Keningau.

Acara yang menggabungkan 4 dalam 1 iaitu Majlis Penyerahan Bangunan Baru, Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Merdeka, Karnival Kokurikulum dan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat SMK Apin-Apin 2009 dengan jayanya telah diadakan pada 20hb Ogos 2009 bersamaan hari Khamis bermula pada jam lebih kurang 9.00 pagi.


Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup, Ahli Parlimen P182 Pensiangan, merangkap Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia telah sudi untuk merasmikan majlis yang penuh gilang gemilang ini. Selain daripada Yang Berhormat Tan Sri, Yang Berhormat Encik Justin Guka, Wakil Rakyat Adun N33, Bingkor turut sama hadir bagi memeriahkan majlis.

Tetamu kehormat telah disambut dengan paluan gong dan seterusnya YB Tan Sri telah sudi untuk memeriksa barisan kawad kehormat yang terdiri daripada kekuatan seramai 38 anggota pelbagai unit beruniform SMK Apin-Apin diketuai oleh Adik Felarius daripada pasukan Kadet Bomba Sekolah. Barisan kawad dipimpin oleh Leftenan Muda Edward anak Joseph Jiham (guru pelatih) dan Leftenan Muda Mohd Zubaidi.

Setelah memeriksa barisan kawad kehormat dan masuk ke dewan, acara di dalam dewan telah dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Jalur Gemilang. Sebagai pembuka, doa telah dibacakan oleh Ustaz Mohd Ghazali dan seterusnya satu tarian dipersembahkan oleh pelajar Kelab Seni dan Budaya sekolah iaitu tarian Limbai dari suku kaum Bajau.


Selesai tarian, majlis dimulakan dengan ucapan daripada tuan pengetua dan seterusnya pengisytiharan nama dewan baru oleh YDP PIBG En. Justin Angian. Setelah beberapa perbincangan tertutup diadakan antara pihak pentadbir dan PIBG sekolah, maka kata sepakat telah dimeterai untuk menamakannya sebagai Dewan Anthony Undan Andulag sempena nama salah seorang tokoh Apin-Apin.

Kemudian, Dr. Selamat Hj. Ismail yang mewakili Pegawai Pelajaran Daerah Gabungan Keningau dijemput untuk ucapan beliau seterusnya YB Tan Sri telah menyampaikan ucapan dan sekaligus merasmikan penyerahan bangunan baru-Karnival Kokurikulum-RIMUP Merdeka-Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat SMK Apin-Apin 2009.

Simbolik kepada Karnival Kokurikulum telah disempurnakan oleh YB Tan Sri dengan tiga paluan gong, kemudian penyerahan replika kunci daripada IR. Edward Lingkapo Jurutera Bangunan Jabatan Kerja Raya Keningau kepada Tuan Pengetua.

Satu persembahan multimedia telah diadakan bagi menunjukkan sejarah SMK Apin-Apin dan perkembangan sekolah diikuti dengan penyampaian cenderakenangan. Ketika tayangan multimedia diadakan, satu kutipan derma sempena Hari Pahlawan telah diedarkan kepada tetamu, ibubapa dan para pelajar. Penyerahan kutipan derma Hari Pahlawan telah diserahkan kepada Koperal Bersara Kassim bin Antong, Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Cawangan Keningau dengan hasil kutipan melebihi RM 500 selepas beberapa persembahan daripada para pelajar SMK Apin-Apin dibawah bimbingan Puan Doreen Pius dan Puan Hilda Lampangok.

Acara yang tamat lebih kurang jam 12 tengahari itu diakhiri dengan lawatan YB Tan Sri dan tetamu-tetamu yang lain ke tapak pameran Karnival Ko-kurikulum.

Semua hasil usaha penat lelah untuk menjayakan program ini disumbangkan dengan kerjasama antara guru-guru SMK Apin-Apin.










notakaki: Gambar-gambar lain sepanjang majlis akan dimuat turun dalam sedikit masa lagi. Harap maklum.

Monday, August 17, 2009

Penyerahan Bangunan Baru 2

TARIKH : 20HB OGOS 2009

MASA : 8.00 PAGI

TEMPAT : DEWAN BARU SMK APIN-APIN (DEWAN ANTHONY JOSEPH)

ACARA :PENYERAHAN BANGUNAN BARU

PERASMI : TAN SRI DATO' JOSEPH KURUP
ADUN PENSIANGAN
TIMBALAN MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR.

Friday, August 14, 2009

Program SPM/PMR - Gotong-Royong

Tanggal 7hb-9hb Ogos yang lalu, pihak UBK telah mengadakan Kem SMART SPM 2009 (Seminar Menjawab dan Merancang Teknik). Kem 3 hari 2 malam yang diadakan di SMK Apin-Apin disertai oleh hampir 130 calon SPM 2009.

Kem ini asalnya bertujuan untuk memberi pendedahan tentang teknik menjawab dan merancang kepada pelajar SPM. Hanya matapelajaran teras yang diperkenalkan dengan teknik menjawab dan merancang iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam. Walau bagaimanapun, selain daripada didedahkan dengan teknik-teknik menjawab soalan SPM, para pelajar juga didedahkan dengan pengisian ilmu motivasi.

Kem tersebut tamat pada lebih kurang jam 12 tengahari.

Pada 8 Ogos juga diadakan Persembahan Tayangan Khas sempena RIMUP dan Kemerdekaan di samping pertandingan Karaoke.

****

Bermula 11 Ogos sehingga 17 Ogos 2009, Seminar Teknik Menjawab Soalan PMR telah dijalankan pada waktu P&P untuk pelajar tingkatan 3. Seminar ini banyak menjemput penceramah luar untuk memberi pendedahan yang lebih baik kepada pelajar PMR.

*****

Pada hari Sabtu yang lalu, bersamaan 15 Ogos 2009 pihak sekolah sekali lagi telah mengadakan Program Gotong Royong Perdana. Ramai ibu bapa turut hadir menjayakan program tahunan sekolah ini. Beberapa buah organisasi seperti Koperasi, Pusat Sumber Sekolah dan Skim Pinjaman Buku Teks telah memulakan operasi memindahkan barangan mereka ke bangunan baru.

Selain daripada itu, banyak pokok telah ditanam di sepanjang jalan SMK Apin-Apin dan di beberapa kawasan untuk mencantikkan dan mengindahkan lagi kawasan sekolah.

Sebelum itu, satu sesi senam robik pelajar dan para guru telah diadakan di hadapan bangunan pentadbiran yang baru. Selesai acara gotong royong, para pelajar dan ibu bapa dihiburkan dengan majlis cabutan bertuah. Lebih daripada 100 hadiah cabutan telah disediakan, sumbangan ikhlas daripada para guru dan AJK PIBG sekolah.

Tuesday, July 21, 2009

Penyerahan Bangunan Baru

Penyerahan bangunan baru daripada pihak kontraktor kepada pihak sekolah akan diserahkan secara tidak rasmi pada 27 Julai 2009. Manakala majlis penyerahan rasmi akan diadakan pada 15hb Ogos 2009.

Satu majlis akan diadakan dan pihak sekolah dengan kerjasama PIBG ingin menjemput semua ibubapa bagi memeriahkan majlis.

Sunday, July 19, 2009

Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang.

Kepada semua warga SMK Apin-Apin,

Pada 20 Julai 2009 akan diadakan majlis penyampaian hadiah tanda sokongan dan pujian kepada pelajar yang cemerlang semasa peperiksaan pertengahan tahun. Acara hanya dijalan semasa perhimpunan rasmi di mana sesi pagi dan petang dijalankan secara berasingan.

Terima kasih.

Monday, July 13, 2009

Kem PRS -PROSTAR SMK. Apin-Apin 2009.

Salam.

Tanggal 10 Julai 2009, Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Apin-Apin dengan kerjasama daripada Unit Promosi Jabatan Kesihatan telah mengadakan Kem PRS PROSTAR yang julung kali diadakan setelah penggubalan dilakukan kepada modul PROSTAR yang lalu.

PROSTAR yang diperkenalkan pada tahun 1996 telah diubah kepada PRS PROSTAR pada tahun lalu (2008) yang membawa maksud Pembimbing Rakan Sebaya Program Sihat Untuk Remaja Malaysia. Sebelum ini, PROSTAR lebih dikenali sebagai Program Sihat Tanpa Aids Untuk Remaja yang mana menumpukan sepenuhnya kepada penyalahgunaan dadah dan penyakit AIDS. Namun, modul terbaru ini merangkumi semua aspek sosial dan tingkahlaku berisiko yang sering dilakukan oleh remaja.

Apa yang membanggakan pihak SMK Apin-Apin, program ini merupakan perintis bukan sahaja bagi daerah Keningau malah di peringkat Sabah juga. Seramai 52 peserta daripada SMK Apin-Apin yang terdiri daripada PRS dan ahli Kelab UBK serta 10 pelajar sekolah rendah telah mengikuti program ini.

Pada hari pertama program telah diadakan Majlis Pelancaran Kem Pintar PRS PROSTAR 2009 yang telah disempurnakan oleh Encik Jerome, wakil dari Pejabat Pelajaran Daerah Keningau. Para peserta kemudiannya diarahkan untuk mendirikan khemah masing-masing.

Lebih kurang jam 2 petang, para peserta didedahkan dengan ceramah tentang PRS dan Kemahiran Asas PRS.

Kemudian, pada sebelah malamnya diadakan taklimat dan bengkel untuk modul 1 - Menjaga Kebersihan Diri. Sebelum itu, para peserta diwajibkan untuk menduduki pra-ujian untuk analisis bagi pihak Jabatan Kebajikan Kesihatan. Pelbagai aktiviti yang menarik dilakukan oleh para peserta.

Pada sebelah pagi keesokannya, setelah beriadah di bawah pimpinan guru pelatih dari UMS yang juga merupakan anggota Palapes Leftenan Muda Edward Anak Joseph Jiham, para pelajar bersarapan pagi dan kemudiannya mengikuti modul ke 2 - Seksual dan Produktif, diikuti dengan modul ke 3 - Tingkahlaku Berisiko.

Pada sebelah petang, modul ke 4 - Remaja Minda Sihat dan modul 5 - Komunikasi disambung. Peserta bukan sahaja didedahkan dengan taklimat atau ceramah, tetapi mereka juga diberikan beberapa aktiviti yang menarik bagi mengelakkan kebosanan di kalangan pelajar.

Modul terakhir iaitu modul 6 - Remaja Bijak Merancang dan Melaksana dijalankan pada sebelah malam sebelum peserta dibiarkan untuk mengadakan latihan bagi persembahan berkumpulan yang akan diadili pada keesokkan harinya.

Walau bagaimanapun, kem komander yang terdiri daripada 3 orang guru lelaki iaitu Encik Joseph Ranyeh (Jurulatih Pusat Ko), Leftenan Muda Zubaidi (guru disiplin sesi petang), dan Leftenan Muda Edward anak Joseph Jiham (guru pelatih UMS) termasuk fasilitator-fasilitator yang dilantik tidak membiarkan peserta bebas begitu sahaja. Mereka telah merancang satu agenda bagi meraikan hari lahir 6 peserta yang lahir pada bulan Julai. Satu kejutan telah dilakukan untuk mereka termasuk peserta-peserta lain.

Pada hari terakhir kem, peserta melakukan aktiviti gotong-royong di sekitar kawasan sekolah dan aktiviti Pencarian Maklumat PRS-PROSTAR. Acara kemudiannya diteruskan dengan persembahan kumpulan. Keenam-enam kumpulan telah mengadakan beberapa persembahan sketsa yang mengundang tawa dan memberi seribu satu makna dengan objektif persembahan masing-masing. Walau bagaimanapun, kumpulan yang terakhir telah melakukan kelainan dengan membuat persembahan deklamasi sajak dan nyanyian yang diiringi dengan petikan gitar dan tiupan seruling buluh oleh peserta itu sendiri.

Acara kemuncak adalah sesi penyampaian hadiah kepada setiap kumpulan dan ucapan penutupan majlis Pelancaran Kem PRS-PROSTAR 2009 yang dilakukan oleh guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum, Encik Abrihim Omar. Penghulu dan Penghuluwati Kem iaitu Daniel Thomas serta Jacquenne Nicholos telah terpilih sebagai Peserta Lelaki dan Peserta Perempuan Terbaik Kem PRS-PROSTAR 2009.

Diharap pada masa hadapan, kem ini dapat menarik minat lebih ramai remaja dan pelajar untuk menyertainya samada di peringkat sekolah mahupun agensi luar.

Notakaki: Entri lambat diposkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Harap maaf. Gambar-gambar akan dimuat turun kemudian.