Thursday, August 20, 2009

Hari yang dinanti.

Satu majlis penyerahan bangunan baru Sekolah Menengah Kebangsaan Apin-Apin telah diadakan secara besar-besaran dengan menjemput wakil rakyat dan pemimpin serta barisan pengetua dan guru besar sekitar Keningau.

Acara yang menggabungkan 4 dalam 1 iaitu Majlis Penyerahan Bangunan Baru, Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Merdeka, Karnival Kokurikulum dan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat SMK Apin-Apin 2009 dengan jayanya telah diadakan pada 20hb Ogos 2009 bersamaan hari Khamis bermula pada jam lebih kurang 9.00 pagi.


Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup, Ahli Parlimen P182 Pensiangan, merangkap Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia telah sudi untuk merasmikan majlis yang penuh gilang gemilang ini. Selain daripada Yang Berhormat Tan Sri, Yang Berhormat Encik Justin Guka, Wakil Rakyat Adun N33, Bingkor turut sama hadir bagi memeriahkan majlis.

Tetamu kehormat telah disambut dengan paluan gong dan seterusnya YB Tan Sri telah sudi untuk memeriksa barisan kawad kehormat yang terdiri daripada kekuatan seramai 38 anggota pelbagai unit beruniform SMK Apin-Apin diketuai oleh Adik Felarius daripada pasukan Kadet Bomba Sekolah. Barisan kawad dipimpin oleh Leftenan Muda Edward anak Joseph Jiham (guru pelatih) dan Leftenan Muda Mohd Zubaidi.

Setelah memeriksa barisan kawad kehormat dan masuk ke dewan, acara di dalam dewan telah dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Jalur Gemilang. Sebagai pembuka, doa telah dibacakan oleh Ustaz Mohd Ghazali dan seterusnya satu tarian dipersembahkan oleh pelajar Kelab Seni dan Budaya sekolah iaitu tarian Limbai dari suku kaum Bajau.


Selesai tarian, majlis dimulakan dengan ucapan daripada tuan pengetua dan seterusnya pengisytiharan nama dewan baru oleh YDP PIBG En. Justin Angian. Setelah beberapa perbincangan tertutup diadakan antara pihak pentadbir dan PIBG sekolah, maka kata sepakat telah dimeterai untuk menamakannya sebagai Dewan Anthony Undan Andulag sempena nama salah seorang tokoh Apin-Apin.

Kemudian, Dr. Selamat Hj. Ismail yang mewakili Pegawai Pelajaran Daerah Gabungan Keningau dijemput untuk ucapan beliau seterusnya YB Tan Sri telah menyampaikan ucapan dan sekaligus merasmikan penyerahan bangunan baru-Karnival Kokurikulum-RIMUP Merdeka-Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat SMK Apin-Apin 2009.

Simbolik kepada Karnival Kokurikulum telah disempurnakan oleh YB Tan Sri dengan tiga paluan gong, kemudian penyerahan replika kunci daripada IR. Edward Lingkapo Jurutera Bangunan Jabatan Kerja Raya Keningau kepada Tuan Pengetua.

Satu persembahan multimedia telah diadakan bagi menunjukkan sejarah SMK Apin-Apin dan perkembangan sekolah diikuti dengan penyampaian cenderakenangan. Ketika tayangan multimedia diadakan, satu kutipan derma sempena Hari Pahlawan telah diedarkan kepada tetamu, ibubapa dan para pelajar. Penyerahan kutipan derma Hari Pahlawan telah diserahkan kepada Koperal Bersara Kassim bin Antong, Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Cawangan Keningau dengan hasil kutipan melebihi RM 500 selepas beberapa persembahan daripada para pelajar SMK Apin-Apin dibawah bimbingan Puan Doreen Pius dan Puan Hilda Lampangok.

Acara yang tamat lebih kurang jam 12 tengahari itu diakhiri dengan lawatan YB Tan Sri dan tetamu-tetamu yang lain ke tapak pameran Karnival Ko-kurikulum.

Semua hasil usaha penat lelah untuk menjayakan program ini disumbangkan dengan kerjasama antara guru-guru SMK Apin-Apin.










notakaki: Gambar-gambar lain sepanjang majlis akan dimuat turun dalam sedikit masa lagi. Harap maklum.

No comments: