Tuesday, November 16, 2010

Tirai 2010 ditutup


Tahun 2010 hampir melabuhkan tirai. Tanggal 16 November 2010, maka berakhirlah sesi persekolahan tahun ini. Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang tahun 2010. Sekali lagi, lantaran kesibukan pengurus blog dan beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan, setiap aktiviti yang dijalankan di SMK Apin-Apin tidak dapat dikemaskini mengikut jangka masa yang sepatutnya.

Walaupun begitu, secara amnya pelbagai program telah diusahakan oleh semua warga SMK Apin-Apin sama ada dari aspek jasmani, emosi, rohani mahupun intelek. Dengan segala program yang telah diaturkan oleh pihak sekolah, diharap semua para pelajar terutamanya, dan warga sekolah keseluruhannya berpuas hati dengan perjalanan kita bersama sepanjang 2010.

Berikut adalah secara ringkas sambungan aktiviti yang telah berjaya dilaksanakan. Sekiranya terdapat kekurangan dan kekhilafan, pihak pengurusan memohon beribu ampun dan maaf.

MAC (2)

1. Sewaktu cuti pertengahan penggal pertama bermula dari 13 Mac - 21 Mac, pemain bola jaring sekolah telah mengadakan latihan intensif di mana pada 23 dan 24 Mac berlangsungnya Kejohanan Bola Jaring Peringkat MSSD 2010 di mana SMK Apin-Apin telah menjadi tuan rumah pada kali ini. Walau bagaimanapun, kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu tidak memberi tuah kepada tuan rumah. Kemenangan telah berpihak kepada SMK Sook yang berjaya mengalahkan SMK Keningau 2, juara tahun lalu.



2. Tanggal 27 Mac 2010 iaitu pada hari Sabtu, sekolah ganti telah dijalankan dengan mengadakan Mesyuarat Agong Koperasi Sekolah yang disertai oleh ahli koperasi berdaftar. Mesyuarat tersebut dijalankan di Dewan Dato' Anthony Undan. Manakala, di dewan serbaguna SMK Apin-Apin telah berjalan Mesyuarat Agung PIBG pada masa yang sama. Kedua-dua mesyuarat agung tersebut telah dirasmikan oleh Tuan Pengetua, En. Mail bin Suanda.

April

1. Berlangsung di UiTM Likas, Kota Kinabalu, Koperasi SMK Apin-Apin Berhad telah menghantar dua pasukan petanque yang terdiri daripada guru-guru bagi pertandingan Petanque anjuran Angkasa dan UiTM. Pertandingan ini diadakan pada 17 dan 18 April. Pasukan yang disertai oleh Cikgu Jaidi Paidi, Cikgu Frankie Maujus dan Cikgu Mohd Izzat telah berjaya sampai ke peringkat separuh akhir. Manakala satu pasukan lagi hanya berjaya sampai ke peringkat suku akhir dengan catatan dua kemenangan tanpa bertanding.

2. Manakala pada 24 April 2010, sekali lagi sekolah telah mengadakan sekolah ganti di mana kali ini program Kemuncak Bulan Bahasa telah diadakan. Bagi simbolik penutupan bulan bahasa yang diadakan sejak awal tahun lagi, Kemuncak Bulan Bahasa adalah acara di mana para pemenang bagi semua pertandingan bahasa diberi penghargaan. Selain daripada itu, persembahan daripada para pelajar yang menjadi pemenang turut dipersembahkan.

Mei

1. Hari Kecemerlangan Sekolah telah berlangsung pada 13 Mei 2010 iaitu pada hari Khamis. Pada hari tersebut, pelajar telah diberi penghargaan di atas segala usaha mereka dalam mencapai kecemerlangan. Hendry Aloysius pelajar SPM 2009 telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik keseluruhan bagi tahun 2009. Beliau yang memperoleh 6A dalam SPM 2009 juga merupakan atlit terbaik sekolah dan pernah mewakili negeri Sabah bagi acara merentas desa selain pernah dianugerahkan sebagai Olahragawan Sekolah kategori A tahun yang sama. Kejayaan pelajar adalah hasil daripada titik peluh mereka sendiri di samping bantuan dan tunjuk ajar para guru yang tidak pernah jemu.

2. Dua hari kemudian, satu gotong royong perdana sempena sambutan hari guru kebangsaan telah diadakan serentak di seluruh negara di sekolah masing-masing. Peperiksaan Pertengahan Tahun telah bermula pada 17 Mei dan berakhir pada 26 Mei 2010.

Jun

1. Meskipun cuti pertengahan penggal, Kem Perdana SMKAA 2010 tetap diadakan pada 2 Jun hingga 4 Jun 2010.

2. Sebaik sahaja sesi penggal kedua dibuka, satu pameran Seminar Pendidikan Kerjaya 2010 telah diadakan di bawah anjuran Yayasan Negeri Sabah dengan kerjasama PPD Keningau.

3. Sambutan Hari Guru peringkat sekolah diadakan pada 26 Jun dengan acara sukaneka pada sebelah siang dan majlis makan malam serta penghargaan pada sebelah malam. Majlis makan malam turut disertai oleh Pegawai Pendidikan Daerah Keningau, Encik Raisin bin Saidin. Pada majlis berkenaan, beliau telah sudi memperdengarkan para guru dengan nyanyian karaoke beliau yang sungguh memukau. Tidak dilupakan, Tuan Pengetua SMKAA, Encik Mail Suanda juga telah memukau para hadirin dengan lagu Isabella.

4. Penutup bagi bulan Jun adalah sambutan Hari Koperasi Sekolah 2010. Pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti persembahan koir, pertunjukan fesyen, nyanyian dan juga jualan daripada orang luar dan para pelajar sendiri. Antara objektif utama Hari Koperasi Sekolah adalah untuk memupuk semangat keusahawanan di kalangan pelajar dan guru.

Julai

1. Pada tahun ini pelbagai program telah diperkenalkan atau di'rebranding' bagi memastikan pelajar SMK Apin-Apin memperolehi keputusan yang cemerlang dari segi kuantiti dan kualiti SPM mahupun PMR. Antara program yang dicadangkan adalah Klinik Akademik, Program Cahaya, Program Budi, Program Elit, PERSADA dan SIAGA.

2. Sehubungan dengan itu, salah satu pengisiannya adalah Seminar Teknik Menjawab Soalan PMR dan SPM. Seminar Teknik Menjawab Soalan SPM telah diadakan bermula pada 6 - 8 Julai dan ditutup dengan ceramah motivasi oleh penceramah jemputan pada 9 Julai.

3. Serentak dengan ceramah motivasi untuk pelajar tingkatan 3 dan 5, penyerahan slip keputusan peperiksaan pertengahan tahun turut diadakan kepada semua tingkatan. Pada hari berkenaan, ibu bapa dan guru telah bersua untuk membincangkan tentang prestasi akademik dan sahsiah para pelajar.

4. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak sekolah bagi memastikan semua pelajar mendapat perhatian yang sewajarnya. Satu program khas untuk pelajar terpilih telah diadakan pada 29 Julai bersamaan dengan hari Khamis. Program yang dianjurkan oleh UBK sekolah dinamakan Program Sinar Permata dibantu oleh Cik Meriam binti Yusoff, kaunselor dari SM St. Anthony, Tenom sebagai Ketua Fasilitator.

5. Keesokan harinya, satu kem kecemerlangan khas untuk pelajar PMR pula telah diadakan.

30 Julai 2010 merupakan hari khas bagi pelajar PMR dimana mereka semua berkumpul dan bermalam di sekolah bagi satu program khas bagi menjana kecemerlangan mereka. Aktiviti bengkel dan muhasabah diri diadakan dibawah kendalian Cikgu Kennedy Alip. Program yang diselaras oleh Cikgu Jaidi Paidi ini memberi pengertian yang berbeza kepada pelajar tentang kecemerlangan.

Ogos

1. Excel 2 bagi Penilaian Menengah Rendah telah dijalankan bermula 2 Ogos sehingga 5 Ogos.

2.
Sehari sebelum Ramadhan iaitu 10 Ogos 2010, satu seminar dan forum permuafakatan ibubapa telah diadakan. Semua ibu bapa pelajar SMK Apin-Apin telah dijemput. Pada awal program tersebut, Cikgu Slyvester mewakili Unit Disiplin dan HEM telah memberikan statistic serta scenario masalah disiplin para pelajar sekolah. Program kemudian diteruskan dengan seminar motivasi keibubapaan. Seterusnya, satu forum khas diadakan bersama pegawai dari Sekolah Henry Gurney. Forum dipengerusi oleh Cikgu Jaidi dan YDP PIBG, En. Justin Angian.

3. Excel 2 bagi Sijil Pelajaran Malaysia pula bermula pada 13 Ogos
.

September

1. Jamuan khas guru dan staff sempena Aidil Fitri 1431H.



1. Bersama-sama dengan unit Disiplin dan HEM, UBK telah menjalankan Program Permuafakatan Komuniti bagi Menangani Gejala Ponteng untuk Pelajar PMR dan SPM pada 21 September. Program ini telah menjemput lebih kurang 70 orang pelajar untuk bersama-sama dengan ibu bapa, ahli PIBG dan jawatankuasa kampung. Puan Siti Zaleha dari Institut Aminuddin Baki, Kuala Lumpur merupakan tetamu khas pada hari berkenaan.

2. Satu Kem Kecemerlangan PMR dan SPM anjuran PPD Keningay dengan kerjasama Kaizen Group Company telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Apin-Apin. Kem 3 hari 2 malam ini diadakan bertujuan bagi memberi pendedahan dan semangat motivasi kepada para pelajar sebelum menghadapi peperiksaan PMR dan SPM bagi tahun 2010.

Oktober

PMR telah berlangsung.

1. Sebaik sahaja PMR berakhir, satu bengkel khas untuk pelajar SPM telah diadakan. Bengkel yang dikendalikan oleh Panitia Bahasa Inggeris ini adalah antara lain bertujuan untuk mengenepikan perasaan ragu-ragu dan takut terhadap matapelajaran Bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Selain daripada itu, mereka juga berpeluang menonjolkan diri ketika membentangkan hasil kerja mereka.


2. Penutup Kemerdekaan dan KOKUM telah dilangsung pada 16 Oktober. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan termasuk pertandingan kawad kaki yang dimenangi oleh Pasukan Pengakap.

3. Bagi melengkapkan kalendar kokurikulum, acara merentas desa bagi tahun 2011 telah diadakan pada 22 Oktober. Secara keseluruhannya, acara ini dimenangi oleh pasukan rumah Waja.

4. Excel 1 untuk pelajar Tingkatan 4 telah berlangsung pada tarikh 25 Oktober.

November

1. Peperiksaan Akhir Tahun Tingkatan 1 dan Excel 1 Tingkatan 2 berlangsung pada 3 November.

2. Pada 12 November telah diadakan majlis titipan restu SPM. Pelajar telah hadir untuk memohon restu daripada guru-guru dan ibu bapa sebelum melangkah ke dewan peperiksaan dalam tempoh seminggu lagi.


3. Pada sebelah malam pula diadakan Majlis Jamuan Akhir Tahun dan Penghargaan kepada Staff dan guru. Tidak ketinggalan, Pengawas sekolah, PRS, Pengawas Pusat Sumber, Ketua-ketua dan Penolong-penolong Ketua Kelas juga turut sama diraikan pada masa tersebut.



4. Acara kemuncak unit Kokurikulum pada tahun ini adalah Kejohanan Olahraga Sekolah Kali ke 32 bagi tahun 2011 yang diadakan pada 15 dan 16 November. Pada kejohanan ini, Albiana Albert telah menyandang gelaran Olahragawati B manakala Suzan Yoyou menyandang gelaran Olahragawati A. Kedua-dua mereka adalah daripada rumah Wira. Manakala bagi Olahragawan B disandang oleh Clarence dan Fardy Hady Marcus sekali lagi membuktikan kehebatannya di arena olahraga dengan menyandang gelaran Olahragawan A. Kedua-dua mereka dari rumah Perdana. Juara perbarisan dimenangi oleh rumah Perdana manakala rumah Wira mendapat tempat pertama atau juara bagi kemenangan keseluruhan Kejohanan Olahraga Sekolah kali ke 32 bagi tahun 2011 dengan kutipan sebanyak 18 emas.


rumah Perdana - Juara Perbarisan.


5. Sesi persekolahan 2010 telah ditutup dengan rasminya pada 16 November. Walau bagaimanapun, proses pendaftaran pelajar tingkatan 1 tahun 2011 dan penerimaan buku teks bagi para pelajar masih diteruskan pada 18 November ini.






SELAMAT HARI AIDIL ADHA!!

SELAMAT BERCUTI!!!

SELAMAT HARI KRISMAS!!

JUMPA LAGI PADA TAHUN 2011!




Kompilasi gambar yang tidak disertakan pada entri sebelum ini:

* Sila klik pada gambar untuk melihat dengan lebih jelas*