Monday, July 13, 2009

Kem PRS -PROSTAR SMK. Apin-Apin 2009.

Salam.

Tanggal 10 Julai 2009, Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Apin-Apin dengan kerjasama daripada Unit Promosi Jabatan Kesihatan telah mengadakan Kem PRS PROSTAR yang julung kali diadakan setelah penggubalan dilakukan kepada modul PROSTAR yang lalu.

PROSTAR yang diperkenalkan pada tahun 1996 telah diubah kepada PRS PROSTAR pada tahun lalu (2008) yang membawa maksud Pembimbing Rakan Sebaya Program Sihat Untuk Remaja Malaysia. Sebelum ini, PROSTAR lebih dikenali sebagai Program Sihat Tanpa Aids Untuk Remaja yang mana menumpukan sepenuhnya kepada penyalahgunaan dadah dan penyakit AIDS. Namun, modul terbaru ini merangkumi semua aspek sosial dan tingkahlaku berisiko yang sering dilakukan oleh remaja.

Apa yang membanggakan pihak SMK Apin-Apin, program ini merupakan perintis bukan sahaja bagi daerah Keningau malah di peringkat Sabah juga. Seramai 52 peserta daripada SMK Apin-Apin yang terdiri daripada PRS dan ahli Kelab UBK serta 10 pelajar sekolah rendah telah mengikuti program ini.

Pada hari pertama program telah diadakan Majlis Pelancaran Kem Pintar PRS PROSTAR 2009 yang telah disempurnakan oleh Encik Jerome, wakil dari Pejabat Pelajaran Daerah Keningau. Para peserta kemudiannya diarahkan untuk mendirikan khemah masing-masing.

Lebih kurang jam 2 petang, para peserta didedahkan dengan ceramah tentang PRS dan Kemahiran Asas PRS.

Kemudian, pada sebelah malamnya diadakan taklimat dan bengkel untuk modul 1 - Menjaga Kebersihan Diri. Sebelum itu, para peserta diwajibkan untuk menduduki pra-ujian untuk analisis bagi pihak Jabatan Kebajikan Kesihatan. Pelbagai aktiviti yang menarik dilakukan oleh para peserta.

Pada sebelah pagi keesokannya, setelah beriadah di bawah pimpinan guru pelatih dari UMS yang juga merupakan anggota Palapes Leftenan Muda Edward Anak Joseph Jiham, para pelajar bersarapan pagi dan kemudiannya mengikuti modul ke 2 - Seksual dan Produktif, diikuti dengan modul ke 3 - Tingkahlaku Berisiko.

Pada sebelah petang, modul ke 4 - Remaja Minda Sihat dan modul 5 - Komunikasi disambung. Peserta bukan sahaja didedahkan dengan taklimat atau ceramah, tetapi mereka juga diberikan beberapa aktiviti yang menarik bagi mengelakkan kebosanan di kalangan pelajar.

Modul terakhir iaitu modul 6 - Remaja Bijak Merancang dan Melaksana dijalankan pada sebelah malam sebelum peserta dibiarkan untuk mengadakan latihan bagi persembahan berkumpulan yang akan diadili pada keesokkan harinya.

Walau bagaimanapun, kem komander yang terdiri daripada 3 orang guru lelaki iaitu Encik Joseph Ranyeh (Jurulatih Pusat Ko), Leftenan Muda Zubaidi (guru disiplin sesi petang), dan Leftenan Muda Edward anak Joseph Jiham (guru pelatih UMS) termasuk fasilitator-fasilitator yang dilantik tidak membiarkan peserta bebas begitu sahaja. Mereka telah merancang satu agenda bagi meraikan hari lahir 6 peserta yang lahir pada bulan Julai. Satu kejutan telah dilakukan untuk mereka termasuk peserta-peserta lain.

Pada hari terakhir kem, peserta melakukan aktiviti gotong-royong di sekitar kawasan sekolah dan aktiviti Pencarian Maklumat PRS-PROSTAR. Acara kemudiannya diteruskan dengan persembahan kumpulan. Keenam-enam kumpulan telah mengadakan beberapa persembahan sketsa yang mengundang tawa dan memberi seribu satu makna dengan objektif persembahan masing-masing. Walau bagaimanapun, kumpulan yang terakhir telah melakukan kelainan dengan membuat persembahan deklamasi sajak dan nyanyian yang diiringi dengan petikan gitar dan tiupan seruling buluh oleh peserta itu sendiri.

Acara kemuncak adalah sesi penyampaian hadiah kepada setiap kumpulan dan ucapan penutupan majlis Pelancaran Kem PRS-PROSTAR 2009 yang dilakukan oleh guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum, Encik Abrihim Omar. Penghulu dan Penghuluwati Kem iaitu Daniel Thomas serta Jacquenne Nicholos telah terpilih sebagai Peserta Lelaki dan Peserta Perempuan Terbaik Kem PRS-PROSTAR 2009.

Diharap pada masa hadapan, kem ini dapat menarik minat lebih ramai remaja dan pelajar untuk menyertainya samada di peringkat sekolah mahupun agensi luar.

Notakaki: Entri lambat diposkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Harap maaf. Gambar-gambar akan dimuat turun kemudian.

No comments: